Cekodok manis rangup & lembut.
Assalamualaikum dan hello. Skip terus ke bawah untuk resipi.
Hari ini saya, Apipo, akan mengajar anda cara untuk membuat cekodok manis. Akhirnya, resipi yang tak tersakiti. Maafkan tajuk entri saya. Saya nak tulis something yang QuIrKy tapi saya notice bahawa orang akan google benda macam "Cekodok rangup dan lembut" atau "Cekodok pisang rangup". Semoga dengan pengorbanan tajuk merepek ini, ramai orang akan jumpa resipi ini dan dapat manfaat Insya Allah.
Saya sebenarnya adalah penggemar tegar cekodok. Cekodok pisang? Cekodok geragau yang boleh buat tekak saya bengkak dan bibir saya mungil kalah Kylie Jenner kerana alergik? Cekodok kosong cicah kari? Cekodok Adabi? Cekodok kosong tak berperisa kegemaran bapa saya? Anda sebut sahaja - saya cintakan semuanya. Kalau cekodok tersebut mengandungi bawang, saya akan gigih menyingkirkan bawang dari adunan tepung sebelum saya makan. Begitulah cintanya saya terhadap cekodok.
Selama beberapa tahun yang mana saya mula berlatih untuk menyempurnakan seni pembuatan cekodok, saya dah buat macam-macam jenis cekodok. Ada yang terlalu lembut, tapi dalamnya macam bergetah. Ada yang rangup tetapi luarnya seakan-akan span yang menyerap minyak. Ada yang crunchy... Tapi gigi anda akan patah dulu sebelum anda dapat rasa cekodoknya. Baru gigit dah tersakiti, acano en. Hmm.
Jadi semalam saya try buat cekodok manis saya sendiri - dari scratch, setelah sekian lama bergantung harap kepada adunan cucur manis Adabi. Adik saya kata sedap, jadi dari situ saya bermain dengan nisbah tepung dan air untuk mengetahui apakah perbezaan yang akan terjadi sekiranya saya melebihkan itu atau ini di dalam adunan saya. Kemudian saya cuba guna ukuran tepat untuk buat resipi ni, sebab biasanya saya campak campak je. (Ecece nak nampak pro)
Saya ni banyak bebel kan? Oklah saya terus la tulis resipinya hm apeni jangan la marah Po!
CEKODOK MANIS APIPO VERSI NORMAL
Bahan-bahan & peralatan yang diperlukan :
1 1/2 cawan tepung gandum (Sediakan lebih sikit)
4 sudu besar gula pasir (Saya guna gula perang)
1 cawan air (sediakan lebih sikit)
1 sudu kecil serbuk penaik/baking powder
Secubit garam
Kuali, minyak masak untuk menggoreng, senduk, penapis besi untuk tuskan minyak
Cara membuat :
1. Campurkan tepung gandum, serbuk penaik, garam dan gula dalam satu mangkuk. Gaul sebati.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan gaul. Tambahkan air/tepung mengikut tekstur cekodok yang anda gemari.
3. Panaskan minyak. Gorenglah cekodok anda seperti biasa. Pandai-pandailah kawal api, agak agak panas beno - ko kecikkan la api. Agak agak lambat betul nak tukar warna jadi keemasan - besarkan sikit apinya dik. Jangan takuk.
Nota Kaki :
- Sekiranya anda menggemari cekodok yang rangup, lebihkan sedikit air. Adunan anda agak cair dan senang/laju jatuhnya dari sudu.
- Sekiranya anda menggemari cekodok yang tembam, lebihkan tepung. Adunan pekat dan sukar jatuh dari sudu.
- Bagi saya, adunan yang berada di antara dua keadaan di atas adalah yang paling ideal. Bila anda angkat sudu dan biar adunan jatuh, ia jatuh seperti reben, kemudian semakin hilang ke dalam adunan lain di dalam mangkuk (Rujuk gambar di bawah).
![]() |
Ini adalah adunan yang paling ideal untuk cekodok, namun ini hanyalah pendapat saya sahaja. |
CEKODOK MANIS APIPO VERSI EXTRA DAN UNNECESSARY
(tapi sedap, serious)
1 1/2 cawan tepung gandum (Sediakan lebih sikit)
4 sudu besar gula pasir (Saya guna gula perang)
1/2 cawan air panas
1/2 cawan air sejuk
Air biasa biasa
1/2 sudu besar minyak masak (Saya guna minyak bunga matahari)
1 sudu kecil serbuk penaik/baking powder
Secubit garam
Kuali, minyak masak untuk menggoreng, senduk, penapis besi untuk tuskan minyak, penapis plastik untuk tapis adunan
Cara membuat :
1. Campurkan gula dengan air panas, gaul sehingga cair. Kemudian, tambahkan air sejuk untuk menyejukkan air panas tersebut.
2. Tapis tepung gandum, serbuk penaik dan garam dalam satu mangkuk. Gaulkan.
3. Dengan perlahan lahan, tambahkan air gula tadi ke dalam tepung. Pastikan air tidak panas. Kalau air panas, masaklah tepung anda nanti huhu.
4. Gaulkan sebati.
5. Dengan menggunakan penapis, tapiskan adunan ke dalam mangkuk lain untuk membuang masa anda dan memuaskan hati anda dengan adunan yang nampak licin dan lembut.
6. Adjust kepekatan adunan anda menggunakan tepung atau air biasa biasa. Saya cadangkan tekstur gambar di atas tadi. Rangup di luar, tidak berminyak gila, lembut di dalam.
7. Tambah minyak masak tadi ke dalam adunan dan gaul rata, dengan penuh kasih sayang.
8. Panaskan minyak. Sementara tunggu minyak panas, basuh semua peralatan yang telah anda guna. Jadilah seorang yang efisyen.
9. Gorenglah cekodok anda.
Cekodok manis ini enak dimakan begitu sahaja. Tapi saya makan dengan kari ayam sebab... Sebab saya nak makan dengan kari ayam.
Baiklah itu sahaja untuk hari ini. Saya harap saya akan rajin kongsi resipi cekodok-cekodok saya yang lain. Mungkin saya patut tukar blog ini jadi blog khas cekodok? Hm.
Babai muah.
Comments
Post a Comment